Apakah matlamat utama kerja wajar?

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah menetapkan 4 objektif strategik utama bagi kerangka konsep kerja wajar (decent work), iaitu hak pekerja, dialog sosial, perlindungan sosial dan promosi pekerjaan.

1) HAK PEKERJA – Hak pekerja di sini termasuk hak berpersatuan, tiada paksaan buruh, tiada buruh kanak-kanak dan tiada diskriminasi. Ia juga bermakna negara-negara yang bersetuju dengan konsep kerja wajar harus meratifikasikan 4 konvensyen antarabangsa ILO berkenaan iaitu C87, C98, C105 dan C111. Kerajaan Malaysia cuma meratifikasikan dua daripada empat konvensyen tersebut.

2) DIALOG SOSIAL – Semua pekerja berhak untuk berunding secara kolektif (collective bargaining) dengan majikan terhadap semua perkara pekerjaan misalnya gaji, bonus, cuti, latihan, keselamatan dan kesihatan, kemalangan, pemberhentian kerja dan lain-lain.

3) PERLINDUNGAN SOSIAL – Ini bermaksud kerajaan dikehendaki mewujudkan sistem perlindungan sosial kepada kaum pekerja, umpamanya skim pencen (KWSP), skim keselamatan sosial (PERKESO), faedah pengangguran (SIP), sistem kesihatan dan lain-lain.

4) PROMOSI PEKERJAAN – Kerajaan diminta untuk menggubalkan dasar-dasar untuk menjana peluang pekerjaan yang cukup, pekerja menikmati keselamatan pendapatan dan mendapat gaji kehidupan (living wage) yang boleh menampung kehidupan harian.

Dengan melaksanakan 4 matlamat ini, ILO percaya kaum pekerja boleh mencapai status kerja wajar dalam zaman globalisasi ini.